Hari-hariku berlalu seperti biasa, penuh dengan komitmen dan tugasan-tugasan harian yang semakin menjadi-jadi, tidak pernah susut dan sukar untuk diatasi. Sungguh pun begitu, aku hadapi kesemua kerjaku dengan penuh kesabaran kerana percaya satu hari nanti kesemua ini akan berakhir diganti suatu berkat yang boleh mengubah hidupku yang jemu ini. Adakalanya aku membendung hatiku daripada ekspektasi yang menggunung dan adakalanya hatiku duka kerana kesemua ekspektasiku adakalanya guling ke lurah yang sangat dalam.
Bagaimana perasaan suka yang teramat sangat terhadap sesuatu yang tidak mudah diperolehi boleh aku gantikan dengan logik dan perasaan yang munasabah? Bagaimana sekiranya harapan itu sesuatu yang boleh dicapai seperti mendapatkan telefon bimbit pintar yang terkini atau mengembara ke Paris, kota cinta yang aku kagumi sejak dahulu lagi? Kedua-duanya hanya memerlukan wang dan tarikh yang sesuai untuk dicapai tetapi bagaimana pula dengan harapan yang sukar diukur dan diberi nilai seperti perasaan marah, kecewa, gembira dan sedih yang hanya boleh dirasai pada masa-masa yang tertentu.
Adakah salah untuk mengekspektasi ataupun untuk orang lain menaruh ekspektasi terhadap kita? Memang sukar untuk memujuk hati manusia ini yang liar dan tidak mengenal batasan kerana hati hanya mahu kegembiraan yang tidak terhingga dan ianya diperolehi dengan menaruh segala harapan pada sesuatu yang mungkin atau tidak mungkin tercapai. Ekspektasi yang paling sukar melibatkan perasaan kita terhadap seseorang, tidak kira samada mereka mempunyai pertalian darah atau tidak, cuma had ekspektasi menjadi sempadan kepada hati. Aku sedar bahawa ekspektasi oleh atau pada ibubapa atau saudara mudah diatasi kerana mereka adalah insan-insan yang boleh kita endahkan atau terima hakikatnya apabila ekspektasi mereka atau kita tidak tercapai. Ianya juga tidak memberikan banyak perbezaan untuk menerima ekspektasi daripada orang yang tiada pertalian darah tetapi telah mengenali kita sejak kecil lagi dan ekspektasi daripada atau terhadap mereka boleh ditawar atau dijual tanpa sebarang kesukaran.
Kehidupan menjadi sukar dan kompleks apabila ekspektasi itu adalah terhadap satu golongan khas yang akan muncul dalam kehidupan kita sebagai teman khas, kekasih ataupun yang diidam. Sekiranya situasi membenarkan kita menyampaikan ekspektasi kita pada WAKTU yang betul, di TEMPAT yang betul dan pada ORANG yang betul, maka itu merupakan kejayaan yang terbesar bagi seseorang individu yang menaruh perasaan kasih sayang atau cinta yang mendalam. Tetapi sekiranya salah satu daripada yang dinyatakan tidak sejajar, maka disitulah kesukaran menjadi musuh kepada ekspektasi. Adakalanya bila kita menaruh hati pada orang yang mempunyai pendirian dan falsafah hidup yang unik atau berbeza, cara untuk menyampaikan ekspektasi itu menjadi lebih kompleks dan besar kemungkinan akan berakhir dalam kedukaan. Orang perseorangan ini akan menjadikan hidup sungguh susah untuk dihadapi terutamanya apabila bersua muka setiap hari dan terpaksa menyembunyikan segala suka dan idaman tanpa disyaki oleh mereka. Gelak ketawa mereka yang ditujukan kepada orang lain akan membuakkan perasaan kecewa, marah dan cemburu dalam diri kerana kesemua yang manis itu tidak ditujukan kepada kita tetapi kepada mereka yang celaka.
Sungguh sukar bagiku menghadapi kian hari dengan hanya berdiam diri dan melayani kerenah individu itu tanpa berkata apa-apa tetapi dipelusuk hati berasa lega kerana masih boleh bercakap, berdiri dan menegurnya setiap hari sebagai salah seorang daripada yang banyak. Bilakah masanya aku akan luahkan ekspektasiku tanpa berasa takut? Adakah ekspektasiku sahih dan boleh diterima? Bolehkah ekspektasiku tercapai? Saban hari aku melakukan apa yang terbaik untuk menyampaikan pelbagai pembayang kepada individu tersebut mengenai ekspektasiku padanya, adakalanya ianya diendahkan dan adakalanya dinilai semula. Hmmm..berapa lama perlu kutunggu? Biar masa menjadi penentu...
Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan,
Penolong Abadi


